Penggunaan vape sama sekali tidak dibenarkan di Singapura. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) baharu untuk mengawal selia produk rokok termasuk bahan yang mengandungi nikotin akan dibentang dalam Dewan Rakyat, Mei ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bagi memastikan pelaksanaan kawalan menyeluruh terhadap bahan atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame, GEG) kepada semua pihak berkepentingan seperti Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu katanya, KKM menggerakkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (Gegar).

Jelasnya, Gegar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama .

“KKM sangat prihatin di atas kebimbangan, reaksi dan maklum balas yang diterima di media massa susulan daripada pengecualian sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik daripada Senarai Racun di dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366].

“Pengecualian berkenaan adalah selaras dengan keputusan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape,”tambahnya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi warta Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Dalam warta berkenaan, nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.- MalaysiaGazette