Para jemaah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. mula memuatnaik aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna sejurus berada di Arab Saudi bagi memudahkan urusan memasuki premis dan juga membuat tempahan slot Umrah, solat di Masjidil Haram, melawat Makam Rasulullah serta Raudah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Syarikat EMRAZ Travel and Tours Sdn Bhd (EMRAZ) sedang berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan isu lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH)

Ketua Pegawai Eksekutif EMRAZ, Datuk Dr. Zulkarnain Endut dalam kenyataan menjelaskan syarikat tersebut tidak pernah menipu jemaah.

Zulkarnain berkata, EMRAZ juga tidak mengenakan bayaran tambahan meskipun terdapat kenaikan kos.

“Sebelum ini EMRAZ telah menerbangkan lebih 30,000 jemaah umrah sekali gus membukti syarikat ini bukan ‘scammer’,” katanya.

Beliau berkata, seperti mana syarikat pelancongan lain, EMRAZ juga berdepan dengan proses pemulihan pasca pandemik COVID-19.

Syarikat itu juga berdepan dengan cabaran kenaikan luar biasa harga tiket dan juga hotel di Tanah Suci.

“Pihak pengurusan EMRAZ berterima kasih kerana kesudian pihak TH menawarkan PJH sebelum ini,” kata Zulkarnain.

TH hari ini mengumumkan menggantung lesen Pengelola Jemaah PJH EMRAZ berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

Menurut kenyataan TH, keputusan ini diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan syarikat tersebut.

“TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan termasuklah perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah.

“TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara,” katanya.

Sejajar itu, bakal haji yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan.-MalaysiaGazette