LONDON – Penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic menerima padah apabila digantung lapan perlawanan kerana mengasari pengadil ketika pasukannya tewas di suku akhir Piala FA dengan Manchester United, bulan lalu, lapor Sky Sports.
Selain penggantungan automatik tiga perlawanan, Mitrovic digantung tiga lagi perlawanan kerana tindakan ganas terhadap pengadil dan dua perlawanan lagi kerana menggunakan perkataan kesat, menghina dan mengancam.
Penyerang berusia 28 tahun itu turut didenda £75,000 (RM411,781).
Pemain antarabangsa Serbia itu dilayangkan kad merah kerana menolak Chris Kavanagh selepas pegawai perlawanan itu menghadiahkan sepakan penalti dan melayangkan kad merah ke atas pemain Fulham, Willian kerana menahan bola dengan tangan di depan gol.
Pengurus Fulham, Marco Silva yang turut dilayangkan kad merah pada perlawanan itu akan digantung dua perlawanan.
Anak buah Silva mendahului 1-0 sebelum insiden tiga kad merah itu, menyebabkan mereka akhirnya tewas 1-3 di Old Trafford.
Minggu lalu, Mitrovic mengakui menyesal dengan tindakannya dan sudah bercakap serta meminta maaf daripada Kavanagh.
Dia menjalani penggantungan pertama ketika Fulham tewas 1-2 di tangan Bournemouth dan tidak dapat bermain sehingga menentang Southampton pada 13 Mei ini. – Agensi