MELAKA – Melaka melantik 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dua wakil rakyat blok Pakatan Harapan (PH) bagi menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas mempengerusikan mesyuarat Exco tengah malam tadi berkata, bakinya adalah lapan ADUN Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Tambahnya, Zulkiflee Mohd Zin (Taboh Naning) pula dilantik sebagai Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana diikuti Datuk Zaidi Attan (Serkam) sebagai Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.
Manakala dua ADUN PH iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana) dilantik sebagai Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Leng Chau Yen (Banda Hilir) memegang jawatan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
ADUN BN lain adalah Mohd Noor Helmy Abdul Halim (Duyong) sebagai Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dilantik Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan.
Zahari Abd Kalil (Durian Tunggal) pula menjawat Timbalan Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Rosli Abdullah (Kuala Linggi) sebagai Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.
ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi pula dilantik Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna kecuali jawatan Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang belum diputuskan.
“Ada satu (portfolio) yang tidak ada timbalan iaitu Exco, Belia Sukan dan NGO (kerana), kita sedang menunggu keputusan daripada mereka yang tidak dapat kita hubungi, nanti kita akan maklumkan.
“Seperi mana saya katakan dulu semua wakil rakyat yang berada dalam Kerajaan Perpaduan akan dapat memainkan peranan menyumbang untuk membangunkan Melaka bersama sama kerajaan negeri yang dipimpin oleh saya,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai jawatan Timbalan Speaker DUN akan digantikan dengan wakil rakyat DAP setelah Khaidhirah dilantik sebagai Timbalan Exco, Ab Rauf berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian.
“Itu saya akan putuskan bila tiba waktunya,” katanya enggan mengulas lanjut.
Rabu lalu, seramai 10 ADUN Melaka mengangkat sumpah sebagai Exco di Balai Istiadat Seri terdiri daripada sembilan ADUN BN dan seorang daripada PH.
Pada 31 Mac lalu, Ab Rauf Yusoh telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dengan memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada pukul 3.33 petang. – MalaysiaGazette