Saiful Lizan (kanan) beramah mesra dengan anggota APMM di atas KM Kimanis selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 800 pegawai dan anggota penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan ditugaskan dalam Op Khas Pagar Laut Khas di seluruh perairan negara bermula 9 hingga 30 April ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi khas ini dilaksanakan bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya dalam musim perayaan.

Jelas beliau, penjenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang pada musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti.

Saiful Lizan.

“Justeru mereka mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati), penyeludupan kontraband serta barang kawalan, pencerobohan dan lain-lain lagi menerusi jalan laut.

“Untuk rekod Op Khas Pagar tahun lalu, kita berjaya membuat 63 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan seperti kemasukan Pati, penyeludupan dadah, mercun dan pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) yang mana nilai keseluruhan rampas berjumlah RM23 juta.

“Sehubungan itu, APMM akan memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutama di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Pagar Laut Khas di atas kapal KM Kimanis di perairan Batu Maung di sini, hari ini.

Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun kelapan yang membabitkan semua APMM negeri termasuk Zon Maritim.

Saiful Lizan (depan) bersama Abd Razak meninjau perairan negara selepas melancarkan
Op Khas Pagar Laut di Pulau Pinang hari ini.

Hadir sama, Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed.

Tambah Saiful Lizan, sebanyak 45 buah aset milik agensi akan digerakkan dalam Op Khas Pagar Laut bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

“Selain itu, kita turut bersiap sedia mengerahkan aset-aset berkenaan bagi melaksanakan tugas Carilamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang membawa penumpang asing dari negara ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti,” kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh hubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03 8943 4001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) negeri berhampiran di seluruh negara atau Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999. – MalaysiaGazette