Ally (kiri) dan Mohd Yusof melihat pengunjung Butik Rakyat Rahmah 4.0 memilih pakaian yang diberikan secara percuma di RUTC, Klebang, Melaka sehingga akhir Ramadan ini.

MELAKA – Kesanggupan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK), Klebang Besar di sini menguruskan sendiri pemberian lebih 20,000 helai pakaian percuma saban tahun mendorong seorang usahawan untuk turut sama membantu tahun ini.

Ahli perniagaan sebuah syarikat kontraktor, Datuk Ally Nawawi, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang 2,000 pakaian raya baharu kepada program Butik Rakyat Rahmah 4.0 (BRR 4.0) yang diasaskan Pengerusi JPKK Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.

Menurutnnya, kejayaan JPKK berkenaan menguruskan BRR yang memasuki tahun ke empat pada Ramadan kali ini benar-benar membuktikan kesungguhan mereka membantu golongan memerlukan setiap kali menjelang hari Raya Aidilfitri.

Datuk Ally Nawawi

“Sebab itu, saya pun berharap mana-mana syarikat untuk turut membantu BRR ini kerana apa yang dilakukan itu adalah jihad untuk kepentingan rakyat dan bukanlah demi keuntungan kewangan.

“Bukan semua orang mampu buat seperti dilakukan JPKK Klebang Besar ini dengan kesibukan harian kita bekerja untuk mendapat gaji tapi mereka boleh duduk di sini sampai pukul 1 pagi melayan rakyat tanpa memperoleh pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan 2,000 pakaian raya baharu antaranya jubah dan kurta serta 300 hamper untuk pengunjung bertuah BRR 4.0 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang di sini malam tadi.

Pengunjung Butik Rakyat Rahmah 4.0 leka memilih lebih 15,000 helai pakaian yang diberikan secara percuma di RUTC, Klebang, Melaka sehingga akhir Ramadan ini.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, sejak BRR 4.0 beroperasi pada 1 Ramadan lalu, mereka sudah menyumbang lebih 15,000 pakaian yang masih elok seperti baju kurung, baju Melayu, kemeja dan pakaian kanak-kanak telah diagihkan secara percuma.

“Hari ini (malam tadi) adalah sektor korporat pertama datang beri jubah baharu dan semoga ini dapat memberi galakan kepada syarikat lain termasuk agensi kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup.

“Kita sasarkan, menjelang minggu akhir Ramadan ini, sebanyak 30,000 pakaian akan diagihkan kepada kumpulan sasar menjadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat mereka,”katanya.

Tambahnya, pada masa hadapan beliau berhasrat mengembangkan BRR menjadi gudang rakyat yang tidak hanya terhad kepada pakaian malah turut memberi bantuan beras dan peralatan rumah yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast