Ab Rauf merasmikan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Pekan Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka bakal mengumumkan satu hari cuti umum negeri sebagai Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia bermula tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tarikh hari berkenaan sudah pun diluluskan yang akan diambil daripada cuti umum negeri sedia ada dan digantikan dengan cuti baharu itu.

“Tarikh bila itu, nanti saya akan umumkan dan ia akan bermula pada tahun hadapan…ia dah lulus cuma saya nak umumkannya pada hari yang sesuai sebagai cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia.

“Hari itu merupakan satu sejarah yang perlu diketahui rakyat apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menerima kelulusan daripada British untuk diumumkan Malaysia sudah merdeka dan bumi pertama melaungkan kemerdekaan adalah di Banda Hilir, Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Pekan Masjid Tanah, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, antara pengisian pada hari cuti umum itu adalah dengan pelbagai kisah sejarah seperti nikmat apabila Tanah Melayu terlepas daripada penjajahan selama 446 tahun.

“Kita mahu kisah penjajahan selama 446 tahun ini dapat dijadikan tauladan untuk generasi akan datang mellihat bagaimana sejarah ini dan segala-galanya bermula di Melaka.

“Tapi tarikh itu kita ambil dari cuti umum yang sedia ada dan kita pindahkan kepada cuti pada Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia, maknanya cuti itu tidak ditambah atau dikurangkan,” katanya – MalaysiaGazette