MELAKA – “Saya merayu kepada individu yang terjumpa beg itu, tolonglah pulangkan kepada saya kerana semua dokumen peribadi di dalamnya amat penting termasuk duit RM20,000 yang perlu dibayar kepada pembekal ayam.”
Itu rayuan peniaga ayam segar, Siti Izrahayu Mohd Zamri, 33, yang menyedari kehilangan beg sandang berwarna hitam bertulisan Puma dipakai suaminya, Mohammad Saiful Naim Basri, 33, kira-kira pukul 10.15 pagi semalam di rumah mereka di Taman Tanjung Minyak, di sini.
Menurutnya sebelum itu, suaminya ada membawa beg itu bersama ketika membuat penghantaran ayam yang telah diproses kepada beberapa pelanggannya menaiki kereta sekitar Tanjung Minyak, Cheng dan Bukit Rambai.
“Selepas itu, suami singgah ke tempat pembuangan sampah untuk membuang sisa ayam dan terus pulang ke rumah.
“Sebaik tiba di rumah, saya perasan beg silang dipakainya tiada membuatkan kami segera keluar mencarinya di tempat pembuangan sampah dan laluan digunakan namun tidak menemuinya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, dia percaya beg berkenaan yang sudah lusuh tercicir dan berharap ada individu berhati mulia dapat memulangkannya kepada mereka.
“Dalam beg itu ada semua dokumen penting, termasuk Mykad suami, lesen memandu, kad nikah, kad bank, invois jual beli ayam dan buku catatan hutang pembelian ayam.
“Malah semua kutipan hasil jualan dianggarkan berjumlah RM20,000 juga ada di dalam beg itu menyebabkan kami buntu memikirkan hutang yang perlu dijelaskan kepada pembekal menggunakan duit itu,” katanya sebak.
Tambahnya, susulan kejadian itu, satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Tanjung Minyak kira-kira pukul 1.20 petang semalam.
“Saya merayu, tolonglah sesiapa sahaja yang menjumpainya agar dapat menghubungi saya di talian 013-7962030 untuk memulangkan beg berkenaan.
“Semoga kemulian Ramadan kali ini dapat membuka hati insan berhati mulia itu untuk membantu saya,” katanya. – MalaysiaGazette.
moga ALLAH mudahkan urusan dan membuka hati yang berkenaan