Tertuduh P. Chandramohgan, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut bunuh bekas isterinya kerana berebut mengenai milikan rumah, bulan lalu.

MELAKA – Seorang pekerja dobi didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut bunuh bekas isterinya kerana berebut milikan rumah, bulan lalu.

Tertuduh P. Chandramohgan, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menakutkan bekas isterinya S. Wairavi, 44, dengan ugutan untuk membunuhnya kerana mangsa enggan menandatangani surat perjanjian pertukaran hak milik rumah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Mas Merah Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Mac lalu.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kerana hanya mempunyai RM2,000 untuk jaminan, perlu menanggung empat orang anak dan bekerja di kedai dobi.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sharda bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut bersetuju dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa dalam apa jua cara.

Beliau kemudian menetapkan 17 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast