Penguatkuasa KPDN memeriksa tangki yang digunakan oleh sindiket untuk mengisi diesel bersubsidi yang cuba untuk diseleweng. Foto Ihsan: KPDN

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di dua lokasi berasingan, kelmarin.

Serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris oleh sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Putrajaya di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah hasil risikan yang dilakukan selama lebih sebulan.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menemui sejumlah 3,000 liter diesel di dalam sebuah tangki di premis tersebut bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk menyeleweng bahan api itu.

Katanya, minyak diesel serta beberapa peralatan lain seperti pam bermotor, hos penyambung, flow meter dan beberapa dokumen perniagaan seperti resit serta buku rekod perniagaan disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM34,450.

“Dalam serbuan di lokasi kedua, seramai enam individu ditemukan ketika sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain di dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu telah menemukan sejumlah 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Kesemua enam individu terbabit yang yang mana tiga daripadanya merupakan warganegara tempatan berumur lingkungan 24 hingga 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, minyak diesel, dua buah lori, pam bermotor, paip penyambung, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemukan di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan di lokasi serbuan kedua itu dianggarkan berjumlah RM544,600.

Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menggunakan lori tangki bagi membawa bahan kimia untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang awam.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes itu sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti terbabit serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel berkenaan diperolehi dan diedarkan.

Tambahnya, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris yang bermula pada 1 Mac sehingga 9 April lalu, sebanyak 4,054 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan sebanyak 110 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.56 juta.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 1.60 juta liter minyak diesel telah dirampas di seluruh negara.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, syarikat itu turut akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Tegasnya, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah tersebut mereka boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau denda sebanyak RM5 juta yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast