Sebahagian daripada 13 remaja Sukarelawan Perpaduan DUN Klebang menimbang berat kuih muih yang tidak terjual di beberapa bazar Ramadan sekitar Klebang sebelum ia disedekahkan ke surau dan masjid sebagai juadah moreh di bawah program MYSaved Food sejak 1 Ramadan lalu.

MELAKA – Tidak mahu melihat pembaziran makanan yang masih elok dijual di bazar Ramadan terbuang begitu sahaja mendorong sekumpulan belia tampil dengan idea yang dapat memberi pahala kepada peniaga berkenaan.

Ini kerana semua makanan itu terutamanya kuih muih yang masih berkualiti akan dikumpul sebelum diagihkan ke surau dan masjid sebagai juadah moreh selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat Tarawih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, usaha murni itu dilakukan 13 remaja daripada Sukarelawan Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

“Program ini dinamakan MYSaved Food yang dilakukan sejak hari pertama Ramadan bagi mengelakkan pembaziran makanan yang masih elok selain peniaga berkenaan juga dapat memperoleh pahala bersedekah.

“Setiap hari, sukarelawan ini akan mengumpulkan makanan terutamanya kuih muih daripada beberapa bazar Ramadan sekitar Bukit Rambai, Pantai Kundor dan Klebang yang tidak terjual tetapi masih elok untuk di makan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan

Menurutnya, juadah kemudian akan dikumpul dan selepas memastikan ianya masih elok, baharulah makanan itu diagihkan ke beberapa surau dan masjid berdekatan untuk dijadikan juadah moreh selepas solat sunat Tarawih.

Tambahnya, sejak program itu dimulakan 1 Ramadan lalu, MYSaved Food itu telah memberi manfaat kepada kepada lebih lima buah masjid dan surau dalam kariah berkenaan.

“Kebiasannya, setiap hari sukarelawan ini akan menerima antara lima hingga 10 jenis makanan, bergantung pada sumbangan yang diperoleh daripada peniaga.

“Jika makanan itu terlalu banyak, ia juga akan diagihkan kepada keluarga asnaf yang sudah dikenal pasti.” tambahnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast