Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebarang cadangan untuk melanjutkan umur persaraan dari 60 ke 65 tahun memerlukan kajian yang menyeluruh dan tidak semestinya mengikut trend negara luar kerana demografi dan populasi rakyat Malaysia adalah berbeza.

Perbezaan itu termasuk sistem pendidikan sekolah negara ini yang masih jauh mematangkan para pelajar sehingga memasuki pengajian tinggi dan pasaran pekerjaan, kata Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Ariffin.

Menurutnya, cadangan melanjutkan umur persaraan perlulah dilihat secara konferensif dengan perlu mengambil semua faktor penentu.

Selain cabaran menghadapi krisis ekonomi yang tidak menentu, keupayaan dan kompetensi bakat yang dilatih bagi menyertai sektor perkhidmatan awam perlu sejajar dengan permintaan pasaran buruh.

Katanya, puluhan ribu graduan yang telah mengikuti pelbagai modul kebolehpasaran sepanjang pengajian mereka masih bertarung dalam mendapatkan peluang pekerjaan khususnya di sektor awam.

Antara faktornya adalah keluk permintaan lebih tinggi dari keluk penawaran.

Dalam konteks penjawat awam yang sedang berkhidmat pula, pembangunan dan pengukuhan bakat dalam memastikan semua penjawat awam kompeten bagi kenaikan pangkat dan mengisi kekosongan jawatan strategik di semua agensi kerajaan.

Ini membuktikan kelompok bakat hari ini telah dilatih dengan ilmu, kemahiran dan keupayaan bagi menjalankan tugas dalam era ketidaktentuan, ketidakstabilan, kerumitan dan kekaburan.

“Peningkatan proses kerja ke era pendigitalan juga turut menjadi tuntutan baharu kepada penjawat awam hari ini yang mana hari ini lebih dikuasai oleh generasi Z.

“Justeru itu, cadangan melanjutkan umur persaraan adalah tidak kompetitif apabila kita menidakkan peluang penyertaan generasi ini dalam perkhidmatan awam dan menyekat potensi dalaman penjawat awam sedia ada yang lebih berdayasaing dalam mempelopori pendekatan baharu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat secara pantas dan tuntas,” katanya dalam kenyataan di sini.

MASTI katanya, turut bersetuju dengan pandangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkaitan meningkatkan skim gaji agar selepas persaraan dapat menampung kos sara hidup yang makin meningkat.

Raja Shah Erman menambah, jika jawatan kenaikan pangkat dan jawatan strategik dipegang lebih dari kemampuan penyandang termasuklah menawarkan jawatan kontrak selepas bersara wajib, maka peluang kenaikan pangkat dan pengisian jawatan strategik akan tersekat.

Kelompok bakat yang disediakan melalui proses pelan penggantian tidak dapat dilaksanakan kerana tiada jawatan dikosongkan tepat pada masa yang telah dirancang untuk pengisian.

Untuk rekod , umur persaraan penjawat awam di Malaysia sudah mengalami 3 kali perubahan dalam tempoh 20 tahun bermula umur 55 hinggalah hari ini ke umur 60 tahun.

Dalam pada masa yang sama, MASTI katanya, turut mencadangkan pemerkasaan kursus kursus pra persaraan di peringkat semua agensi agar kehidupan selepas bersara penjawat awam boleh menyumbang kepada sumber pendapatan utama selain menikmati pencen hasil sumbangan berpuluh tahun kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast