ABDUL RAZAK Abdul Rahman menyerahkan cenderahati kepada pelancong kapal persiaran Ms. Amadea di ICQS, Kota Laksamana, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka menyasarkan sekurang-kurangnya 90 buah kapal persiaran mewah membawa 45,000 pelancong menjejakkan kaki ke negeri ini menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beliau percaya sasaran 40 buah kapal tahun ini dan 50 pada tahun hadapan mampu dicapai melalui pelbagai kempen dan promosi yang sudah dirangka.

Antaranya, termasuklah menggunakan khidmat ejen-ejen kapal persiaran untuk membuat hebahan mengenai pelbagai program dan pakej percutian istimewa ditawarkan di bawah promosi TMM 2024.

“Walaupun kita tidak ada jeti khusus untuk membolehkan kapal persiaran berlabuh, tapi kita ada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelancong.

“Kita jangkakan tahun ini sahaja sebanyak 40 kapal persiaran mewah akan berlabuh di Melaka manakala 50 buah lagi tahun depan menjadikan 90 buah kapal keseluruhan melawat Melaka menjelang TMM.

“Setiap buah kapal mewah ini selalunya membawa tidak kurang daripada 500 orang pelancong dari seluruh dunia menjadikan Melaka bakal menerima 45,000 pelancong kapal persiaran mewah,” katanya.

KAPAL persiaran Ms. Amadea dari Bahamas yang berlabuh perairan Selat Melaka sebelum pelancong dibawa menaiki bot transit ke di ICQS, Kota Laksamana, Melaka hari ini

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Meraikan Pelancong Kapal Persiaran di ICQS di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Razak menyambut ketibaan 390 penumpang kapal persiaran Ms. Amadea dari Bahamas melancong ke Singapura, Melaka dan Pelabuhan Klang, Selangor.

“Apa yang kita harap semua ejen-ejen pelancongan dapat menggunakan peluang ini membawa pelancong ke semua lokasi menarik di Melaka termasuklah bermalam di negeri Hang Tuah ini.

“Kita sedang berunding dengan pengusaha atau ejen kapal persiaran untuk memberi pakej-pakej istimewa sempena TMM kepada pelancong yang merancang untuk bermalam di sini,” tambahnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast