logo mahlamah

DUNGUN – Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi dekat sini, awal bulan ini.

Mohd Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Dia dituduh menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, di Kampung Besol, Batu 6, Bukit Besi antara 7.30 hingga 8 pagi pada 5 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

Media sebelum ini melaporkan, Rubiah yang cedera parah pada bahagian muka, maut selepas dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lepas, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan. – Bernama