SERDANG – Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MSD Innovation Sdn Bhd mewujudkan kerjasama untuk meneroka peluang pertanian pintar dan
potensi penggunaan teknologi baharu menggunakan teknologi internet benda (IoT).
Melalui Mou ini, UPM dan MSD Innovation Sdn Bhd mengfokuskan kepada pengunaan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian (4IR), IoT, pengkomputeran awan (cloud) dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) untuk meneroka pertanian pintar bagi menghasilkan sayur segar di ladang 15 UPM secara tertutup.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, UPM mempunyai kepakaran dalam usaha meningkatkan pengoperasian penanaman secara sistem fertigasi
berasaskan sistem IoT adalah satu langkah yang sangat tepat di mana UPM mempunyai pakar bidang pertanian yang boleh bersama membantu merealisasikan hasrat pihak syarikat untuk menggunapakai teknologi IoT dalam sistem fertigasi untuk tanaman sayuran dan buah-buahan.
“Sistem IoT dapat memberi manfaat kepada petani kerana ia membenarkan mereka mengumpul, memantau dan menganalisis data dari ladang mereka dengan efisien. Dengan data ini, petani dapat mengoptimumkan hasil tanaman mereka, mengurangkan sisa, memulihara sumber dan memastikan kesihatan dan kesejahteraan ternakan mereka.
“Selain itu, sistem IoT juga boleh membantu petani mengurus sistem pengairan, menjejaki pergerakan produk dan mengoptimumkan rantaian bekalan mereka,” katanya.
UPM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi bersama-sama membantu negara merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkenalkan teknologi baharu terutamanya teknologi pintar seperti yang telah dijalankan oleh pihak MSD Innovation dan Fakulti Pertanian, yang mana, pokok tomato ceri telah berjaya ditanam dengan menggunakan sistem fertigasi berasaskan IoT.
Beliau berkata, aplikasi sistem IoT dalam pertanian juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan pekerja asing negara berikutan kebanyakan proses dapat diautomasikan
melalui sistem IoT.
“Petani juga boleh meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan yang boleh membantu mereka untuk kekal berdaya saing dalam pasaran pertanian hari ini.
“Dengan ini, jika sistem fertigasi berasaskan sistem IoT dapat dilaksanakan secara besar-besaran di kawasan tersebut ia akan dapat membantu para petani setempat untuk
mendapat sumber makanan serta pendapatan yang lumayan,” katanya. – MalaysiaGazette