JASIN – Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Itulah rezeki diterima dua rakan sekolah apabila terpilih menjadi tetamu Allah setelah mereka memenangi dua tajaan tiket mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.
Semuanya apabila mereka tanpa dirancang menghadiri program Semarak Cinta Rasul dan Jasin Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul 144H Peringkat Daerah Jasin di Dataran Orang Kampung Merlimau di sini pada 28 Oktober tahun lalu.
Nur Amira Fadhlina Asri, 18 dan Siti Zulaikha Mustain,18, kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau, berkata, mereka mereka pergi ke program itu bersama keluarga tanpa sebarang rancangan keluar bersama.
“Memang kami tak rancang keluar bersama walaupun kenal di sekolah tapi malam itu, kami pergi sendiri bersama keluarga masing-masing.
“Malah sebelum nombor Mykad dipanggil ketika sesi cabutan bertuah, saya dan emak sedang gulung tikar untuk pulang selepas selesai program dan terkejut apabila mengetahui saya terpilih menjadi tetamu Allah,” kata Nur Amira Fadhlina.
Menurutnya, dia sama sekali tidak pernah terbayang akan mengerjakan ibadah umrah pada usia muda kerana sedar kos umrah yang mahal menyebabkan dia yang berasal dari keluarga sederhana tidak mampu menampung kos itu.
“Ayah kerja kilang, mak pula kerani jadi saya anggap ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka dan insya Allah, jika semua berjalan lancar, saya terpilih untuk mengerjakan umrah pada 18 hingga 29 Mei ini.
“Lebih bermakna, apabila adik, emak dan ayah juga setuju untuk menemani saya selain kawan, Siti Zulaikha dan ibunya juga pergi pada tarikh yang sama,” katanya.
Terdahulu, mereka menerima surat tajaan umrah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merliau, Dr Muhamad Akmal Saleh di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau. – MalaysiaGazette
















