Tuminah (kanan) melawat keadaan enam anak arwah Rubi yang kini kini tinggal bersama datuk dan mereka di Taman Tangga Batu Perdana, Tangga Batu, Melaka.

MELAKA – Kerajaan negeri memberi jaminan yang enam anak Rubiah Sabtu, 41, yang meninggal dunia dipercayai dibunuh suaminya sendiri baru-baru ini tidak akan tercicir dalam pelajaran biar pun sedang melalui tempoh sukar ketika ini.

Keenam-enam anak yatim berusia antara 18 hingga 5 tahun itu kini tinggal bersama datuk mereka, Aziz Mustaffa, 68, dan nenek, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, yang juga bekas mentua arwah di Taman Tangga Batu Perdana di sini.

Jaminan itu diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang sempat meluangkan masa menyantuni enam beradik berkenaan yang kini menumpang di rumah salah seorang anak pasangan warga emas berkenaan.

“Saya amat bersimpati dengan ujian hidup terpaksa dilalui keenam-enam anak arwah pada usia masih kecil dan akan memastikan lima daripada enam beradik yang masih bersekolah dapat menyambung pelajaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita akan menghubungi Jabatan Pendidikan negeri bagi memudahkan sebarang urusan,” katanya yang sebelum itu turut membawa anak-anak yatim itu berbuka puasa di sebuah hotel dan membeli pakaian raya di bazar Aidilfitri.

Tuminah cuba mengenakan baju raya kepada salah seorang anak arwah Rubiah di Glam Ramadan Bazar Klebang ketika membawa semua enam anak yatim itu membeli belah di bazar berkenaan semalam.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka juga akan memastikan kebajikan pasangan bekas mentua Allahyarham Rubiah yang kini perlu memikul tugas menyara enam cucu terus terbela.

“Saya secepat mungkin akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk melihat apakah bentuk bantuan sesuai boleh dihulurkan.

“Ini kerana pasangan warga emas ini juga tidak bekerja dan jadi untuk menanggung seramai enam cucu ini bukanlah satu tugas yang mudah tambahan pula Abdul Aziz juga menghidap sakit jantung dan memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Sementara itu, Wan Zaini meluahkan kesyukuran atas keperihatinan kerajaan negeri yang komited membantu cucu-cucunya itu.

“Selagi ada nyawa, selagi itulah kami akan terus menjaga semua enam cucu ini sambil dibantu seorang lagi anak perempuan yang masih bujang.

“Mereka bukanlah satu beban sebaliknya adalah tanggungjawab untuk mak cik yang telah ditentukan tuhan,” katanya.

Pada 5 April lalu, media melaporkan Rubiah, meninggal dunia dipercayai akibat dipukul dengan tukul besi oleh suaminya di kediaman mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, Terengganu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Enam anak Allahyarham adalah, Mohamad Daniel Mohd Radzi,18, Mohamad Danish Hakim, 15, Nur Daniela Danisya, 11, Mohamad Adam Darwish, 9, Mohamad Daniyal Naufal, 7, dan Mohd Dani Lutfi, 5 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast