MELAKA – Melaka akan mewujudkan semula industri pelancongan pendidikan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha itu penting bagi membentuk generasi celik sejarah di peringkat remaja.

Menurutnya, satu perbincangan sedang dijalankan bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dalam merangka kursus yang bakal diperkenalkan di peringkat sekolah.

“Ini demi memastikan anak-anak kita di peringkat sekolah mengenali sejarah yang betul kerana ramai pihak tidak bertanggungjawab hari ini sering menyelewengkan fakta sejarah.

“Saya juga telah menyebut di bawah rektor pendidikan dan penyelidikan PERZIM untuk libatkan anak-anak muda ini dengan kursus yang sesuai di peringkat pelajar sekolah.

“Saya akan mencadangkan agar Melaka menjadi hab sejarah pendidikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Kampung Bukit Cina, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, persiapan rapi juga sedang dilakukan termasuk kerja-kerja menaik taraf muzium-muzium di negeri ini yang menjadi kemudahan utama sektor pelancongan pendidikan.

Dalam perkembangan lain Abdul Razak memberitahu, semua pemain industri peloncongan telah bersedia untuk menerima peningkatan jumlah pelancong pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“Satu program menyambut kepulangan anak-anak perantau Melaka akan turut dilakukan di Plaza Tol Ayer Keroh pada Rabu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast