R. Yuneswaran. Foto AFFAN FAUZI, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedang mengalami keretakan tidak benar dan ia merupakan andaian yang yang tidak berasas yang dibuat tanpa sandaran realiti, kata Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Ahli Parlimen penggal pertama itu berkata, Ismail Sabri yang berada di blok kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan apa jua kenyataan yang boleh mengundang pelbagai spekulasi tidak baik terhadap pimpinan Kerajaan Malaysia Madani yang dibina atas prinsip kebersamaan dan perpaduan nasional.

“Sebagai salah seorang Ahli Dewan Rakyat yang turut berada dalam blok kerajaan, Ismail Sabri tidak seharusnya cenderung untuk menyatakan perkara-perkara remeh secara terbuka yang boleh mencetuskan syak wasangka umum terhadap kredibiliti Kerajaan Madani yang dinakhodai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan, saya secara peribadi ingin mengesahkan bahawa hubungan antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GOS) serta parti-parti kerajaan yang lain semakin baik dan utuh.

“Kami boleh bertukar-tukar pandangan serta meraikan pelbagai bentuk kerjasama fizikal yang boleh tanpa sempadan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yuneswaran mengulas kenyataan Ismail Sabri bahawa keretakan hubungan lebih teruk boleh berlaku jika tiada persefahaman antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama melibatkan ‘pergeseran’ kenyataan antara UMNO dan DAP berhubung peranan masing-masing bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Yuneswaran berkata, parti-parti yang membentuk kerajaan boleh bertukar-tukar pandangan serta meraikan pelbagai bentuk kerjasama fizikal tanpa sempadan.

“Hubungan erat antara PH sesama parti-parti lain khususnya BN bukanlah hanya dibina atas dasar politik semata-mata. Persefahaman kami dibina atas dorongan bersama untuk melihat negara Madani yang kami sedang bangunkan ini mampu melaksanakan segala agenda reformasi yang boleh memberi keuntungan kepada ekonomi rakyat.

“Ismail Sabri seharusnya menjadi tali penghubung kepada parti-parti kerajaan dalam mencetuskan usahasama yang boleh membawa erti kepada kemajuan negara.

“Beliau tidak sepatutnya menjadi jurucakap politik yang tidak bertauliah bagi pihak-pihak tertentu yang tidak senang melihat era Malaysia Madani hari ini mampu ditadbir dengan lancar menerusi kerjasama semua parti politik yang mendukung Kerajaan Persekutuan,” jelas Yuneswaran. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Takutlah tu..
    Kamu Kan dah Tahu Dia Penipu
    Muka Dia Pon Muka Penipu
    Yang Kamu Bijak Pandai Lagi Sampai Duk Kene Tipu Pasal apa?
    Kamu Yang B….

Comments are closed.