DBKL rental rent agent PPR PA
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini menolak sebulat suara permohonan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memohon perintah untuk mengembalikan cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Zabidin Diah bersama Hakim Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dalam rayuan itu.

Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membenarkan 12 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mengetepikan arahan pembangunan oleh Datuk Bandar sebelum ini.

Cadangan pembangunan itu termasuk pembinaan sebuah pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik, lapan blok pangsapuri perkhidmatan dan lapan tingkat ruang parkir.

Turut bersama DBKL yang merayu adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pemaju, Memang Perkasa Sdn Bhd mahu membuat rayuan semakan kehakiman sebelum ini.

Semasa prosiding hari ini, hakim juga memutuskan perintah pembangunan itu seharusnya diketepikan kerana wujudnya konflik kepentingan, memandangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur menganggotai lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Hakim Nallini memutuskan apabila yayasan itu (YWP) memeterai perjanjian usaha sama dengan Memang Perkasa sebelum pemberian hak milik tanah, Datuk Bandar mengetahui daripada Rancangan Struktur KL 2020 bahawa tanah itu adalah kawasan hijau terbuka untuk kegunaan awam.

Mahkamah turut memerintahkan DBKL membayar kos guaman RM100,000 kepada penduduk, manakala YWP dan Memang Perkasa masing-masing perlu membayar RM80,000 serta RM70,000. – MalaysiaGazette