Gambar hiasan

PADA minggu ini, umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Amalan berkumpul dan menziarahi tetamu sememangnya menjadi tradisi dan kewajipan pada setiap musim perayaan. Dalam kita menikmati kemeriahan Aidilfitri bersama kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan, aspek keselamatan elektrik terutamanya berkaitan litar pitas haruslah diberi sepenuh perhatian terdapat pelbagai langkah yang boleh anda ambil untuk mengelak daripada mengalami litar pintas di rumah anda dan untuk kekal selamat dan sihat.

Berikut adalah beberapa langkah pencegahan terbaik yang boleh anda ambil:

1. Periksa soket sebelum menggunakannya
Adakah anda tahu bahawa di belakang semua soket di rumah anda, terdapat kotak dengan berbilang wayar yang dipasang? Beberapa punca litar pintas yang paling biasa dikaitkan dengan soket ini, berpunca daripada usia, sambungan wayar yang longgar atau pendawaian yang rosak. Walaupun mungkin sukar untuk mengenali isu ini disebabkan ianya tersembunyi di sebalik dinding anda, memeriksa soket anda sebelum menggunakannya boleh memberikan impak yang besar.

Semasa anda memeriksa soket, terdapat beberapa perkara tertentu yang anda boleh cari untuk mengetahui sama ada ia mungkin berisiko menyebabkan litar pintas. Jika anda perasan bahawa terdapat kesan melecur pada soket atau terdapat bau terbakar datang daripadanya, ini mungkin cukup untuk menunjukkan soket tersebut mempunya masalah. Selain itu, jika ia mengeluarkan bunyi berdengung atau meletus, atau mengeluarkan percikan api apabila digunakan, anda harus mengelak daripada terus menggunakannya, kerana tanda ini juga menunjukkan potensi risiko.

2. Periksa peralatan
Adalah pentingnya untuk memeriksa peralatan anda sebelum memasangkannya kepada soket. Apabila perkakas mempunyai pendawaian atau litar yang rosak, ini juga boleh menyebabkan litar pintas. Walaupun tiada masalah dengan soket, pemasangan perkakas yang rosak boleh merosakkan soket tersebut dan, lebih teruk lagi akan menyebabkan litar pintas. Terdapat beberapa tanda utama kerosakan peralatan elektrik. Jika anda melihat kerosakan pada kabel, sarung (casing), kabel atau terdapat retakan pada peralatan tersebut, sebaiknya jangan gunakan. Anda harus berhati-hati dengan peralatan yang memiliki litar yang terdedah dan sebaiknya membuang peralatan tersebut atau memperbaikinya secara profesional.

3. Kurangkan penggunaan elektrik semasa ribut petir
Percaya atau tidak, sambaran petir adalah satu lagi cara yang boleh menyebabkan litar pintas. Malah, ini adalah salah satu jenis senario litar pintas yang paling berbahaya kerana arus dan voltan yang tinggi boleh menyebabkan beberapa kerosakan yang serius. Malaysia sememangnya mempunyai kadar panahan petir antara yang tertinggi di dunia. Atas sebab ini, penggunaan elektrik anda pada tahap minimum semasa ribut petir adalah idea yang baik yang dicadangkan. Ini akan membantu anda mengelakkan litar pintas di samping mengehadkan kerosakan sekiranya lonjakan kuasa berlaku.

4. Lakukan penyelenggaraan pada pemutus litar
Setiap sistem elektrik rumah mempunyai perlindungan tetap terhadap litar pintas, yang dikenali sebagai pemutus litar. Pemutus litar ialah komponen dalam panel elektrik anda yang dimatikan apabila arus elektrik tidak stabil. Penyelenggaraan yang kerap akan memastikan kefungsian yang berpanjangan bagi pemutus litar anda. Anda boleh melakukannya dengan memeriksa sebarang kerosakan, seperti keretakan atau
pemasangan yang longgar. Anda juga boleh menggunakan kain kering untuk membersihkan kotoran atau kesan lain yang terdapat pada pemutus litar dan panel anda untuk memastikan ianya sentiasa bersih.

5. Jadualkan pemeriksaan elektrik tahunan
Pemeriksaan elektrik tahunan mampu mengurangkan risiko litar pintas. Semasa pemeriksaan, orang kompeten boleh memeriksa sepenuhnya sistem anda untuk mengenal pasti isu yang mungkin menimbulkan potensi risiko untuk litar pintas dan masalah elektrik yang lain. Selepas mengenalpasti risiko sedemikian, orang kompeten boleh menawarkan khidmat nasihat untuk tindakan terbaik bagi membetulkan sebarang isu yang wujud, sekali gus memastikan rumah anda dapat didiami dengan selamat.

Oleh: Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir
Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Fakulti Kejuruteraan, UPM