EUDR
Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Parlimen Kesatuan Eropah (EU) telah membelakangkan negara-negara ASEAN apabila meluluskan Peraturan Penyah Hutan EU (EUDR) semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peraturan ini merupakan usaha terancang untuk meningkatkan kos dan halangan terhadap sektor sawit Malaysia, terutamanya terhadap 450,000 pekebun kecil.

Menurut beliau, tindakan itu akhirnya akan meningkatkan tahap kemiskinan, mengurangkan pendapatan isi rumah dan mendatangkan kesan buruk terhadap masyarakat luar bandar.

“Situasi ini bercanggah dengan komitmen EU terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“EUDR adalah tidak adil dan berfungsi untuk melindungi pasaran minyak bijian tempatan yang kurang efisien dan tidak mampu bersaing dengan eksport minyak sawit Malaysia yang lebih efisien dan produktif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberitahu, kerajaan sekali lagi menekankan bahawa EU harus memberi pengecualian pelaksanaan EUDR terhadap pekebun kecil.

Sekiranya tidak, beliau menambah, ia akan menyebabkan pekebun kecil terkeluar daripada rantaian bekalan pengimportan sawit dan produk sawit ke EU.

Selain itu, Fadillah berkata, EU seharusnya memberi komitmen untuk tidak mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara ‘Risiko Tinggi’ dan tidak mengenakan pendekatan bidang kuasa.

“Pengkelasan Malaysia sebagai berisiko tinggi adalah tidak berasas.

“Malaysia sering kali memenuhi komitmen terhadap pemeliharaan hutan dan pertanian mampan, yang telah diiktiraf oleh institusi
terkemuka dunia seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) dan Bank Dunia,” jelasnya.

Menurut beliau, EU juga seharusnya mengiktiraf kelebihan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan pensijilan mampan mandatori, seiring dengan keperluan EUDR.

Fadillah memberitahu, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan libat urus bersama EU bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan.

“EU pada masa ini perlu memberi komitmen terhadap penglibatan pihak kerajaan dan industri dari negara pengeluar, termasuk penglibatan dalam Platform Penyahhutan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menambah, minyak sawit Malaysia adalah mampan dan merupakan minyak sayuran yang paling menyeluruh dipersijilkan di dunia.

Kata Fadillah, piawaian MSPO memastikan komitmen negara terhadap kemampanan dan telah membantu mengurangkan kadar penyahhutanan kepada sifar.

“Malaysia akan terus membekalkan minyak sawit mampan dan bebas penyahhutanan kepada pasaran global,” jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia kecewa dengan langkah EU untuk menjarakkan diri daripada pasaran global dengan meletakkan halangan perdagangan bebas.

“Ini adalah langkah yang tidak wajar, memandangkan ASEAN dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) semakin berpengaruh dalam menarik rakan dagangan global,” katanya.

Fadillah menambah, kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia sedang merangka maklum balas yang bersesuaian terhadap peraturan tersebut dengan mengambil kira kepentingan sektor sawit dan hasrat EU untuk mengenakan halangan dagangan yang tidak munasabah.

“Kerajaan menggesa agar EU mengambil perhatian terhadap kebimbangan Malaysia dan sektor sawit secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast