Dr. Asyraf (kiri, belakang) bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (kanan, belakang) menyaksikan Presiden IRSE, Andy Knight (kanan, depan) dan CEO UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar (kiri, depan) Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Universiti Kuala Lumpur dan Institusi Jurutera Isyarat Keretapi.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini telah tercipta sejarah bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Institution of Signal Engineers (IRSE), United Kingdom dalam penawaran sijil kompetensi dalam isyarat rel dan telekomunikasi.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu diadakan penuh bersejarah antara kedua pihak di UniKL, di sini yang dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden IRSE, Andy Knight.

MoU itu merupakan langkah strategik MARA melalui UniKL untuk menawarkan sijil kompetensi yang diiktiraf di peringkat global dalam bidang industri rel.

Sebagai perbandingan, pensijilan profesional oleh IRSE dalam bidang isyarat rel dan telekomunikasi adalah setara dengan pensijilan chargeman dalam bidang elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga.

Dr. Asyraf melawat simulator pembelajaran selepas MoU antara UniKL dengan IRSE.

Menurut Dr. Asyraf, IRSE adalah badan berlesen di bawah UK Engineering Council yang menjalankan pelbagai aktiviti untuk menyokong pembangunan profesional dan mengekalkan kompetensi ahli.

Ini katanya, termasuk menjalankan program mesyuarat teknikal, persidangan dan seminar secara berkala serta konvensyen tahunan yang diadakan di pelbagai lokasi seluruh dunia, yang menjadi platform perkongsian maklumat, perbincangan berkaitan trend industri, seterusnya merangsang perbahasan mengenai topik berkepentingan dalam industri.

Kata beliau, ia juga menerbitkan buku teks pendidikan dan majalah bulanan iaitu IRSE News yang mengandungi kertas kerja serta artikel teknikal.

“Selain itu, ia turut menjalan aktiviti seperti menawarkan peperiksaan secara tahunan di peringkat global, di mana ahli dapat menilai pengetahuan dan penguasaan mereka mengenai pelbagai subjek teknikal dan operasi berkaitan dengan kawalan rel dan telekomunikasi.

“ia juga mengendalikan Skim Pelesenan, yang mana ahli dan bukan ahli mempamerkan kecekapan secara berterusan untuk menjalankan fungsi teknikal tertentu yang berkaitan dengan kawalan rel dan telekomunikasi.

Dr. Asyraf dan Charles Hay (dua kiri) melawat gerabak LRT selepas MoU.

“Seterusnya, ia menyediakan sistem mentor untuk menyokong ahli individu yang hendak mengembangkan kerjaya dan keupayaan profesional mereka,” katanya pada majlis MoU di UniKL, baru-baru ini.

Menurut Asyraf, kolaborasi itu dicetiskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang kini ditukar kepada nama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun 2022.

KPLB, MARA dan UniKL telah menjalankan lawatan kerja ke IRSE, UK pada 13 Jun 2022 yang diketuai Menteri ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang mana perbincangan diadakan di ibupejabat IRSE di Westminster, London, UK.

Lawatan kerja yang amat memberangsangkan itu telah mencipta satu usahasama yang strategik dalam memperkasakan pembangunan modal insan selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12 serta mendokong aspirasi TVET@KKDW.

Antara bentuk usahasama yang terjalin ialah, IRSE membenarkan UniKL Asia Rail menawarkan kursus IRSE bagi peringkat diploma lanjutan dan sijil kompetensi yang diiktiraf di peringkat global.

Ia juga melibatkan akreditasi daripada IRSE supaya UniKL Asia Rail menjadi pusat persijilan sijil profesional isyarat dan telekomunikasi IRSE yang diiktiraf di peringkat UK serta global.

Turut melibatkan pemindahan pengetahuan dan kemahiran kepada pensyarah UniKL melalui program diploma Advance di IRSE, UK di bawah penajaan MARA, di samping penganjuran Konvensyen IRSE di peringkat global bagi tahun 2025 di Kuala Lumpur dan mempromosikan keahlian profesional IRSE.

Dr. Asyraf bersama Charles Hay (tiga kanan) dan Presiden IRSE, Andy Knight (tiga kiri) bergambar bersama ketika melawat gerabak keretapi selepas MoU antara UniKL dan IRSE.

Bagi melaksanakan usahasama strategik itu, MARA telah meluluskan pembiayaan pinjaman pelajaran bagi pelajar di peringkat diploma.

Sijil Kompetensi IRSE ini telah dimasukkan dalam struktur program Diploma of Engineering Technology in Railway System dengan temph pembelajarannya selama tiga tahun.

Apabila tamat kelak, graduan diploma ini akan memperoleh dua sijil iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Sistem Rel dan Sijil Kompetensi IRSE Modul A – Certificate in Railway Control Engineering Fundamentals.

Dengan pensijilan IRSE itu, graduan telah dilengkapi dengan sijil kompetensi yang diiktiraf di peringkat global. Oleh itu, mereka berupaya mendapatkan pekerjaan di Malaysia atau di luar negara, sekali gus meraih pendapatan lebih tinggi berbanding graduan lain.

Semua program di Asia Rail Centre diiktiraf oleh Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), operator rel dan juga badan profesional seperti IRSE.

Ini menjadikan program Asia Rail mempunyai kebolehpasaran di peringkat nasional, ASEAN dan juga global. Pengupayaan tenaga tempatan dalam bidang ‘signalling’ ini juga sejajar dengan projek MRT3, di mana sistem signalling telah diputuskan untuk dibangunkan di Malaysia.

Pemerkasaan UniKL Asia Rail Centre ini juga sejajar dengan anggaran keperluan guna tenaga kerja industri rel oleh Kementerian Pengangkutan seramai 100,000 orang menjelang tahun 2030.

Ini berdasarkan kepada keperluan sedia ada bagi pengendali rel untuk menyelenggara dan menjalankan operasikeretapi KTMB, Rapid Rail dan ERL, selain pelaksanaan projek baharu seperti MRT2, LRT3, ERL, landasan berkembar Gemas-Johor Bahru, RTS Malaysia-Singapura dan HSR. – MalaysiaGazette