KUALA LUMPUR – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah mengosongkan seluruh kawasan akademi tersebut dengan memindahkan 45 orang susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utama akademi tersebut pada tengah hari tadi.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemindahan tersebut membabitkan 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh orang penghuni kuarters (keluarga pegawai).
“Pengosongan tersebut adalah atas nasihat pihak bomba dan akan berlangsung sehingga kawasan terlibat diisytiharkan selamat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika ini, MACA bersedia melaksanakan arahan lanjut pihak berkuasa dan akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, MACA memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian tanah runtuh tersebut. – MalaysiaGazette