Harsimran Kaur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan dengan curang menyimpan harta curi wang tunai berjumlah RM280,000 milik suaminya 8 Januari lalu.

MELAKA – Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan harta curi berupa wang tunai milik suaminya berjumlah RM280,000 awal tahun ini.

Tertuduh, Harsimran Kaur, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menyimpan harta curi iaitu wang tunai berjumlah RM280,000 milik Harbhajan Singh, 38, kira-kira pukul 12.01 pagi di sebuah stesen minyak di Jalan Semabok di sini pada 8 Januari lalu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili tiga Peguam, Mahajoth Singh, G.S. Gabriel dan Navin Punj.

Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 12 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast