Dari kiri: Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Dr Mohd. Naim Mokhtar dan Datuk Seri Amrin Awaluddin.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH )telah mengambil langkah meminimumkan risiko supaya modal pelaburannya terpelihara dan tidak terlalu terjejas sepanjang tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, keadaan persekitaran pelaburan tahun 2022 adalah mencabar bagi semua institusi pelaburan termasuk TH.

Menurutnya, pasaran saham domestik dan global terjejas melebihi 10 peratus manakala pasaran modal pula terkesan dengan kenalkan agresif kadar pembiayaan.

Justeru, tegas beliau, TH akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangan dalam persekitaran ekonomi dan pasaran yang tidak menentu ketika ini.

“Pendapatan pelaburan kekal berdaya tahan meskipun dalam ekonomi mencabar dan pasaran yang tidak menentu.

“Pelaburan instrumen pendapatan tetap dan ekuiti telah menyokong ketahanan pendapatan pada tahun 2022 dengan menyumbang 81 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

“Baki pendapatan sebanyak 19 peratus dijana daripada pelaburan harta tandin dan pasaran wang patuh Syariah. Agihan Keuntungan dan Bantuan Kewangan Haji saling berkait rapat kerana ianya datang daripada sumber pendapatan yang sama.

“Sekiranya Bantuan Kewangan Haji diberikan tinggi, maka ia akan turut mempengaruhi kadar agihan keuntungan kepada para pendeposit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Naim Mokhtar Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Amrin menambah, sejak 2001, TH telah menanggung Bantuan Kewangan Haji sebagai sebahagian daripada perbelanjaan sebanyak RM2.23 bilion dan bantuan itu meningkat saban tahun akibat kenaikan kos di luar kawalan TH terutama di Tanah Suci.

Menurutnya, kos menunaikan haji telah meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM28,632 seorang bagi musim haji 2022 berbanding RM22,900 pada 2019.

Tambah beliau, kenaikan kos itu menyebabkan Bantuan Kewangan Haji meningkat kepada 55-65 peratus daripada kos haji seorang jemaah Muassasah.

“TH sentiasa berusaha untuk mengurus tanggungan Bantuan Kewangan Haji yang terus meningkat berikutan kenaikan kos haji diluar kawalan.

“Bagi tahun 2022, TH memperkenalkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, mengambil kira kemampuan jemaah haji dan kelestarian institusi haji negara ini menanggung bebanan kewangan tersebut.

“Walaupun berhadapan tekanan inflasi, TH telah turut berjaya mengawal perbelanjaan lain dengan jumlah perbelanjaan operasi menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun 2021,” katanya

Amrin memberitahu, kedudukan kewangan TH kekal positif dengan aset berjumlah RM90.92 bilion melebihi liabiliti di mana simpanan pendeposit berjumlah RM87.60 bilion merupakan komponen terbesar liabiliti TH. – MalaysiaGazette