KUALA LUMPUR – Tidak mampu berdiam diri lagi, isteri kepada penyanyi, Datuk Hattan memberitahu suaminya telah menerima ugutan bunuh, santau kecaman dan makian berterusan daripada segelintir netizen.
Datin Arianie Abidin, 52, turut mendedahkan Hattan juga dihina sehingga ada yang menyamakan penyanyi Mahligai Syahdu dengan Firaun kerana sikap riaknya seperti yang didakwa.
“Walaupun ramai yang meminta saya untuk memberi penjelasan, tetapi bagi saya tidak perlu. Tak apalah, biar saya simpan sendiri cerita sebenar. Hanya saya dan keluarga yang mengenali dia.
“Menitik juga air mata saya membaca komen-komen, tetapi sebagai seorang isteri, saya perlu kuat dan sentiasa berada di belakang suami. Apa pun, baik buruk, dia tetap suami saya. Tiada manusia yang sempurna.
“Setiap manusia melakukan kesilapan. Janganlah kita meninggalkan komen sehingga menimpulkan fitnah. Takut yang dianggap salah dapat pahala. Kita pula dapat doa,” katanya menerusi beberapa hantaran di Intastory miliknya hari ini.
Penyanyi berusia 58 tahun itu dikatakan berlagak sombong dan biadap ketika ‘menyekolahkan’ pembaca berita tersebut secara langsung.
Sementara itu, Arianie menambah, Hattan tidak membaca sebarang komen atau Direct Message (DM) yang dihantar warganet kerana dia yang menguruskan akaun media sosial suaminya itu.
“Saya yang muat naik video dan jaga Instagram dia. Sekarang saya letakkan akaun itu dalam mode privasi. Saya tak mahu kamu semua tambah dosa.
“Kalau nak komen, itu adalah pilihan anda. Tinggalkan komen di ruang yang disediakan,” kongsinya.
Isteri kepada penyanyi Memburu Rindu itu turut memuat naik tangkap layar beberapa kecaman, makian dan ugutan yang diterima menerusi DM.
Sehingga kini, Hattan tidak memberi sebarang penjelasan berhubung insiden tular tersebut. – MalaysiaGazette