R.Ramasamy. -Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak layak untuk bercakap tentang perpaduan atau untuk memartabatkan orang Melayu.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy mendakwa, kedua-dua mereka terkait dengan Proklamasi Orang Melayu telah mengecewakan kaum itu selama beberapa dekad.

“Mahathir walaupun menjawat jawatan perdana menteri selama dua penggal, beliau tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.

“Namun sebagaimana seluruh dunia sedar, retorik perkauman dan agama telah digunakan dan dimanipulasi oleh Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarganya dan kroninya.

“Sekiranya Mahathir dan pemimpin Pas begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?” soal beliau.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu juga mendakwa, Abdul Hadi menggunakan agama untuk memastikan Pas kekal relevan kepada orang Melayu.

Tanpa agama, Pas tidak berbeza dengan parti politik lain, dakwanya.

Katanya, Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Dr. Mahathir dan ditandatangani Pas mungkin bertujuan menyelamatkan orang Melayu daripada dipinggirkan.

Namun jika diteliti proklamasi tersebut hanya propaganda untuk meraih sokongan Melayu dan menjatuhkan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia bukan untuk menyelamatkan orang Melayu tetapi bermotif dalam mengusahkan cara untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

“Mahathir berpendapat bahawa beliau seoranglah yang dapat menyelamatkan orang Melayu daripada penindasan dan kezaliman. Tetapi dia mudah lupa, kadang-kadang sengaja dilupakan bahawa dia adalah pemimpin yang gagal menyatukan orang Melayu.

“Pas mempunyai bahagian yang besar dalam memecahbelahkan orang Melayu. Dalam hal ini, Mahathir dan Hadi hampir tidak sesuai untuk bercakap tentang perpaduan Melayu atau untuk memartabatkan orang Melayu,” kata Ramasamy.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin Pas telah menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Mahathir.

Proklamasi Orang Melayu didakwa membawa agenda penyatuan orang Melayu merentasi parti dengan sasaran satu juta tandatangan dikumpulkan menjelang Pilihan Raya Negeri yang dijangka Julai ini.- MalaysiaGazette