Sheikh Khader Adnan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah ke atas aktivis Palestin, Sheikh Khader Adnan yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan di penjara Israel.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, kecuaian dan keengganan pihak berkuasa Israel menyediakan kemudahan perubatan menyebabkan kematian Almarhum Sheikh Khader Adnan sebagai sangat tidak berperikemanusiaan serta tidak bertanggungjawab.

Katanya, almarhum dilaporkan meninggal dunia di penjara Israel pada 2 Mei lalu, selepas menghabiskan 86 hari mogok lapar sebagai tindakan protes dan membantah penahanan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin serta layanan kejam ke atas tahanan.

“Semua pihak diseru untuk menyatakan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang masih dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan semata-mata kerana perjuangan mereka menuntut kemerdekaan.

“Adalah amat menyedihkan tahanan Palestin termasuk golongan wanita dan kanak-kanak terus ditindas oleh rejim Israel.

“Kezaliman dan penyeksaan yang diperlakukan kepada tahanan Palestin adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Na’im, dalam apa juga ruang yang ada, semua pihak perlu mengutuk  tindakan rejim Israel sebagai isyarat jelas masyarakat dunia yang menolak sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast