Exco Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Dewan Dato Ahmad Razali Ampang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Sejak akhir-akhir ini, tercetus desas desus mengenai usaha beberapa pihak khususnya pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, perkara tersebut menjadi lebih parah apabila pembangkang terus memomokkan rakyat dengan khabar angin langkah-langkah yang dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan serta memberikan bilangan ahli Parlimen yang bersama mereka untuk meruntuhkan kerajaan sedia ada.

“Gerakan ini sudah tentu memberikan impak besar kepada rakyat dan negara kerana sudah semestinya apabila wujudnya perkara seperti ini, senario politik tanah air akan dilihat tidak stabil dan pentadbiran kerajaan juga akan terlihat lemah.

“Antara impak yang akan berlaku adalah seperti keyakinan pelabur luar untuk melabur dalam negara semakin berkurang, penilaian prestasi negara merosot dan pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 terbantut.

“Suasana politik yang tidak stabil ini akan menyukarkan usaha kerajaan untuk menarik pelabur serta menetapkan sebarang polisi ekonomi bagi memulihkan ekonomi negara.

“Perkara ini sudah semestinya akan menyebabkan negara akan kehilangan peluang-peluang pelabur serta pendapatan negara yang berjumlah berbilion ringgit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seharusnya pembangkang hari ini tidak menjadi penghasut kepada rakyat.

“Sedikit nasihat buat pembangkang, jadilah pembangkang yang membawa hasrat rakyat serta menjadi pengimbang dalam pentadbiran.

“Jadilah pembangkang yang berwibawa dengan memberikan cadangan dan teguran kepada kerajaan dalam menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang maju dan stabil,” katanya.

Jelasnya, tidak perlulah pembangkang hanya tahu menghasut rakyat dan tamakkan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan serta mengambil alih kerajaan.

“Hal ini kerana, yang akan merana di kemudian hari juga adalah rakyat.

“Sesebuah negara akan bertahan lama dan dilihat berjaya jika golongan elit sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bekerjasama dengan baik dalam membina sebuah negara yang tercinta. – Malaysia Gazette