MELAKA – Padah mengacukan gunting kepada pegawai polis yang cuba meleraikan pertengkarannya bersama teman lelaki bulan lalu, seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, didakwa telah menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting terhadap pengadu, Inspektor Mohd Shahrol Firrdaus Senawi.

Kesalahan itu dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, di sini, kira-kira pukul 9.30 malam 16 April lalu.

Difahamkan, tertuduh bertindak mengacukan gunting ke arah pegawai polis ketika pengadu tiba untuk meleraikan pertengkaran antara tertuduh dan teman lelakinya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam yang dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuannya itu susulan tertuduh tidak konsisten dengan keputusan itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat pasport diserah kepada mahkamah.

Nabilah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 13 Jun ini untuk serahan dokumen dan menggunakan khidmat jurubahasa Vietnam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast