tuala wanita
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera memperbaiki kelemahan skim Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa ‘cacamarba’ termasuk meluluskan permohonan pinjaman kepada individu bankrap.

Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menerima aduan daripada pencarum yang mendapat kelulusan FSA2 daripada MBSB Bank, namun tidak dapat mengeluarkan pinjaman itu kerana berstatus bankrap.

“Yang menariknya, semua mereka menerima kelulusan walaupun mereka sebenarnya mempunyai status bankrap,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Malah, Wan Saiful berkata, ada di antara peminjam yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada MBSB Bank mengarahkan mereka mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi terlebih dahulu.

“Jika tidak, pinjaman mereka akan dibatalkan walaupun dana telah dimasukkan ke akaun bank masing-masing.

“Bagaimana boleh wujud satu keadaan yang mana pinjaman telah diluluskan, dana telah dimasukkan dalam akaun peribadi tapi peminjam tidak dibenarkan membelanjakan wang itu?” ujarnya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, lebih teruk lagi apabila MBSB mengenakan caj faedah 4.5 peratus untuk tempoh pinjaman sembilan tahun, sekali gus menyebabkan jumlah yang perlu dibayar pencarum mencecah dua kali ganda pinjaman.

“Salah seorang pencarum berkongsi dengan saya ‘screenshot’ akaun beliau. Peminjam ini meminjam RM18,000 dari MBSB dengan mencagarkan wang KWSP yang dia ada.

“MBSB mengenakan caj pada kadar 4.5 peratus dan tempoh pinjaman ialah sembilan tahun. Jumlah penuh yang dia perlu bayar ialah RM35,601.12. Dua kali ganda dari jumlah RM18,000 yang dia pinjam.

“Daripada seorang yang elok-elok ada wang dalam akaun KWSP sendiri, akibat polisi Anwar Ibrahim, dia kini berhutang RM35,000 dan wang KWSP sendiri pula telah tercagar,” tambahnya.

Justeru, beliau menggesa Anwar selaku Menteri Kewangan memberi penjelasan mengapa pentadbiran beliau ‘huru-hara’ sehingga menganiaya rakyat susah.

Katanya, Anwar juga perlu memberi jaminan bahawa sekiranya pinjaman mereka dibatalkan, pencarum tidak akan dikenakan sebarang caj walaupun wang telah dimasukkan ke akaun peribadi peminjam dan status KWSP mereka kembali kepada asal.

“Pastikan juga peminjam yang telah mengeluarkan wang pinjaman tidak dipaksa memulangkan wang dengan zalim kepada mereka.

“Anwar juga perlu jelaskan apa rasional kerajaan memaksa pencarum menambah hutang sehingga jumlah bayaran balik jadi berganda dan membebankan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, sekiranya Anwar tidak dapat terima hakikat bahawa ‘dasar songsang’ yang dibawanya menyusahkan rakyat, lebih baik Ahli Parlimen Tambun itu meletak jawatan Menteri Kewangan dan memberikan kepada individu yang lebih kompeten. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.