MoU antara Kementerian Pendidikan dengan YBR ditandatangani Syaiful Rizal (duduk, kanan) dan Pkharuddin (duduk, kiri) sambil disaksikan Dr. Rosnarizah (berdiri, kiri) dan Mohd Irwan (berdiri, kanan).

PUTRAJAYA – Dalam usaha meningkatkan modal insan negara, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan (BMKPM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi penajaan biasiswa kepada 100 pelajar cemerlang lepasan matrikulasi bagi Program Penajaan Biasiswa YBR.

Hasil usaha sama itu, YBR memperuntukkan sejumlah RM4.7 juta bagi biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih bagi program itu meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester baru.

Jalinan kerjasama selama empat tahun bermula 2022 sehingga 2025 ini menyasarkan seramai 25 penerima setiap tahun bagi penajaan biasiswa pendidikan setiap seorang berjumlah RM47,000.

Memorandum itu ditandatangani bersama Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali yang disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengarah Bahagian Matrikulasi, Dr. Rosnarizah Abdul Halim.

Menurut Mohd Irwan, kerjasama itu bertujuan membuka peluang kepada pelajar khususnya yang memperolehi keputusan cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan program matrikulasi.

Beliau berharap, usahasama antara YBR dan BMKPM itu menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar cemerlang untuk terus berjaya dalam pendidikan serta menyumbang kepada generasi muda yang berkaliber.

Tambahnya, penajaan pelajar itu turut mengambil kira aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen kedua pihak dalam membantu pelajar cemerlang dan tidak berkemampuan mengorak langkah ke hadapan tanpa sebarang masalah kewangan.

Sementara itu, Syaiful Rizal pula berkata, kerjasama itu amat bersesuaian kerana usaha berkenaan dilihat memberi keuntungan dan kebaikan bersama, di mana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir apabila menamatkan pengajian serta bertepatan dengan visi dan objektif penubuhan YBR iaitu membantu masyarakat kurang berkemampuan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Beliau yang juga bekas pelajar matrikulasi berharap, kerjasama itu dapat menjadi suntikan semangat kepada pelajar cemerlang matrikulasi dari keluarga B40 melangkah jauh dalam bidang diceburi, sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.

Katanya, bagi tahun 2022, seramai 7,045 pelajar telah ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17.39 juta. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast