KUALA LUMPUR – Cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan dinaikkan dari 13 peratus kepada 20 peratus tidak mewakili kumpulan pekerja terbesar di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cadangan itu dilontar oleh satu badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak pernah dibawa ke dalam mana-mana forum untuk dibincangkan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri.
“Selagi ia tidak dibawa dan dibincang, pada saya, ia bukan isu bahkan kalau awak tanya saya, saya tak suka nak komen, saya tak patut komen.
“Perkara itu sebenarnya hanyalah satu lontaran yang tidak pun mewakili kumpulan pekerja terbesar di negara ini.
“Ia hanyalah idea, kalau tidak letih juga, saya sebagai menteri, lepas ini orang kata gaji wartawan kena naik 70 peratus, letihlah saya semua nak komen,” katanya pada sidang media hari ini.
Pada 30 April lalu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencadangkan supaya kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan dari 13 peratus kepada 20 peratus.
Menurut pesidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, perkara itu merupakan salah satu daripada 12 perkara yang dicadangkan UNI-MLC untuk kerajaan dan majikan tangani dengan kadar segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.
Dalam pada itu, Rafizi melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan itu diterima secara terburu-buru kelak ia boleh menyebabkan banyak syarikat terpaksa gulung tikar.
“Kita kena seimbangkan antara kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji itu naik secara berkala dan kemampuan syarikat-syarikat kita.
“Kalau tidak berhati-hati, ia akan beri kesan negatif kepada syarikat-syarikat. Kita juga tidak mahu gaji dinaikkan tapi banyak syarikat gulung tikar,” katanya.
Lebih malang, katanya, jika cadangan satu kelompok itu tidak diperhalusi, kelak ia boleh menyebabkan ramai pekerja bakal kehilangan sumber pendapatan.
“Jadi itu berlaku contohnya syarikat kata, saya nak naikkan gaji macam ini sebab arahan kerajaan maka dari 100 pekerja, dia kena buang 60 orang pekerja.
“Kita kena berhati-hati, sebab itu kita nak pastikan bahawa kerangka dasar itu lebih mampan dan ia dapat diangkat dan dilaksanakan secara positif oleh semua manfaatnya dapat kepada pekerja dan majikan,” katanya. – MalaysiaGazette