Kalsom (tengah) menunjukkan kod QR Prih@tinJkmMelaka yang dilancarkan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan aduan mereka secara dalam talian.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka hari ini melancarkan kod QR Prih@tinJkmMelaka bagi membolehkan orang ramai mengemukakan aduan mereka secara dalam talian.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin berkata, ia juga menjadikan JKM Melaka sebagai agensi kebajikan negeri pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan itu.

“Inisiatif ini menjadikan JKM Melaka adalah JKM pertama di negara ini menggunakan perkhidmatan dalam talian yang mana inisiatif ini diharap dapat menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada.

“Ini secara tidak langsung membolehkan rakyat menyalurkan aduan dan maklum balas berkaitan perkhidmatan JKM dengan cepat dan lebih efisien,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kod QR Prih@tinJkmMelaka di pejabat JKM negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKM negeri, Zulkifli Hanifah, timbalannnya, Ismail Barom dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri,
Nurul Huda Kamarul Zahari.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, antara maklumat boleh disalurkan termasuk penderaan kanak-kanak, warga emas terbiar, anak yatim, semakan status orang kurang upaya (OKU), bantuan kewangan dan sebagainya.

“JKM negeri juga telah memberi jaminan sebarang masalah yang dibuat secara atas talian akan selesaikan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja.

“Penggunaan kod QR ini juga mudah yang mana orang ramai hanya perlu mengisi butiran seperti nama, alamat, daerah, nombor telefon dan isu serta masalah yang hendak dikemukakan,” katanya. – MalaysiaGazette.