ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan empat putus jari kaki dan patah tapak kaki kanan selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan bersama sebuah motosikal lain di Jalan Lubok China, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa berusia 16 tahun sebelum itu dikatakan menunggang secara laju bersama dua buah lagi motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati pelajar lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Ramuan China Kechil menghala ke Lubok China.
“Mangsa menunggang dengan laju bersama dua buah motosikal lain yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya sebelum tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan terlanggar sebuah motosikal lain menyebabkan penunggangnya terjatuh.
“Akibatnya pelajar itu putus jari kaki dan patah tapak kaki kanan manakala seorang lagi penunggang motosikal jenis Modenas Kriss disyaki patah kaki dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulans dan dirawat di zon kuning wad kecemasan manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.
Kes disiasat di bawah Seksyen Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.