Pemangku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya, Nurulfarahshah Jamil bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini politik UMNO Petaling Jaya di Pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2023.

PETALING JAYA – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya menafikan dakwaan kononnya sayap parti itu lumpuh selepas Noor Hasliza Abu Taib meletakkan jawatannya sebagai ketuanya pada 3 Mei lalu.

Pemangku Ketuanya, Nurulfarahshah Jamil menegaskan sayap UMNO itu masih berfungsi seperti biasa dan kekal menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim.

“Kenyataan salah seorang AJK Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya menyatakan beliau dan pegawai-pegawai yang dilantik bersama AJK Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya yang dipilih dan yang dilantik telah meletakkan jawatan beramai-ramai adalah tidak benar sama sekali.

“Sehingga ke hari ini, struktur Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya masih lagi utuh, kukuh dan sentiasa kekal bersama-sama dengan AJK yang telah dipilih semasa pemilihan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya pada 11 Mac lalu,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan dakwaan kononnya sayap UMNO Bahagian Petaling Jaya lumpuh apabila 13 AJK Pergerakan Puteri UMNO kawasan itu meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Tindakan itu diambil susulan tindakan peletakan jawatan Noor Hasliza sebagai ketua sayap parti bahagian itu yang berkuatkuasa 3 Mei lalu.

Hasrat mereka meletakkan jawatan yang berkuatkuasa 8 Mei dibuat menerusi seorang wakilnya dalam satu rakaman klip video berdurasi 42 saat yang tular sejak Selasa lalu.

Terdahulu Nurulfarahshah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya 2023 di pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya.

Mesyuarat itu antara lain untuk memaklumkan Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya berkenaan peletakan jawatan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya pada 3 Mei 2023.

Mesyuarat juga bertujuan bagi memaklumkan secara rasminya Nurulfarahshah telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya bagi penggal 2023-2026 sehingga tempoh pemilihan akan datang.

Berdasarkan Perkara 12.10.1 Peraturan Pergerakan Puteri UMNO 2022, tugas sebagai Pemangku adalah sama seperti tugas seorang Ketua yang mana Pemangku boleh melantik Setiausaha (Puteri) UMNO Bahagian, Bendahari (Puteri) UMNO Bahagian dan Ketua Penerangan (Puter) UMNO Bahagian, Dan juga Melantik tiga (3) orang Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian.

Nurulfarahshah juga memberitahu mesyuarat khas itu telah melantik pegawai-pegawai dan tiga jawatankuasa lantikan untuk jawatan Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Setiausaha Kerja dan AJK lantikan.

Antaranya Nuir Lailatul Hajar Md Diah dilantik sebagai setiausaha, Nur Diana Roselan (Bendahari), Nurul Nabihah Samsudin (Ketua Penerangan) dan A’idanur Madihah Abu Bakar (Setiausaha Kerja).

Manakala bagi jawatan AJK lantikan pula, tiga individu dilantik iaitu Nurul Faizah Ishak, Shuhada Ilany Hashim dan Shamellya Norazizi.

“Pelantikan ini bertujuan bagi menstruktur semula Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya susulan peletakan jawatan mantan Ketua Puteri Bahagian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ya ini baru Puteri UMNO. Mantan Ketua tu mungkin dan dah dapat habuan poketnya. Kita tak perlu simpsn sampah

Comments are closed.