Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya,Datuk Seri Mohamad Hasan serta yang lain membaca surah yassin sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77 di Surau Ar-Rahman Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 11 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-77 secara sederhana dengan upacara keagamaan di ibu pejabatnya di Menara Dato’ Onn, di sini, dan di beberapa lokasi lain secara serentak, malam ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir bagi memeriahkan majlis itu.

Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi dan pemimpin UMNO Bahagian turut hadir pada majlis yang diadakan di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Sambutan ulang tahun itu dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah, disusuli solat sunat hajat dan bacaan Yaasin, Tahlil dan Doa Selamat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai majlis itu.

Selain upacara keagamaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan Amanat Ulang Tahun UMNO ke-77.

Sambutan ulang tahun itu turut diadakan secara serentak di kediaman Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan, Pahang.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi dan Datuk Lokman Noor Adam;

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast