Lelaki penyewa bilik membakar langsir cetuskan kebakaran di damansara Seksyen 17 PJ direman selama empat hari.

PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan polis dengan bantuan bomba kerana disyaki menggunakan pisau dan menghalang usaha memadamkan kebakaran di Damansara petang semalam.

Suspek kemudiannya direman membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek dikenal pasti sebagai lelaki warga tempatan itu disahkan positif dadah.

Dalam kejadian yang berlaku pada 11 Mei lalu, kira-kira pukul 3.30 petang, bomba menerima panggilan berlaku kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Seksyen 17, Damansara.

“Pasukan bomba dan polis telah bergegas ke lokasi kebakaran rumah itu sebelum mendapati usaha mereka untuk memadam kebakaran itu dihalang oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memegang sebilah pisau.

“Bomba berjaya memasuki rumah dan memadam kebakaran tersebut dan polis pula berjaya menahan lelaki bersenjatakan pisau itu.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang penganggur yang menyewa di bilik tersebut dan telah bertindak membakar langsir bilik tidur menyebabkan berlaku kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berparang cuba halang bomba padam kebakaran ditahan polis

Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek positif dadah jenis methaphetamine dan amphetamine.

Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah dan dadah lampau.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat dengan api.

“Suspek terbabit kini sedag direman selama empat hari bermula semalam sehingga 15 Mei ini untuk siasatan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette