Muhamad Akmal Saleh ketika berdialog dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memohon maaf kepada parti Amanah berkaitan isu lantikan politik dalam agensi kerajaan.

Beliau membuat permohonan tersebut secara terbuka dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kritikan yang dilemparkan adalah disebabkan ketidaksempurnaan dirinya.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab untuk pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan melaksanakan dasar yang lebih baik.

“Kita berdiri atas perpaduan, isu lantikan GLC sahabat Amanah, saya mohon maaf atas ketidak sempuranaan saya. Tetapi lepas ini, tugas kita nak bangunkan negara dengan polisi yang lebih baik dengan pendekatan yang jauh lebih baik,” tegasnya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mengkritik keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dipimpin oleh Presiden Amanah, Mohamad Saba melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

Beliau menggesa Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu supaya menarik semula lantikan tersebut kerana tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua hari lalu, KPKM mengumumkan lantikan tiga pemimpin Amanah iaitu Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mahfuz Omar sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sementara itu, Azman Ismail dari PKR serta Sheikh Umar Bagharid Ali dari DAP masing-masing diberi tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Menurut Akmal, lantikan itu perlu diteliti semula kerana ia bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Anwar yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast