Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – DAP berpandangan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal sekiranya kerjasama antara parti-parti dalam gabungan dapat membentuk kerajaan yang kukuh.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, parti itu sememangnya berharap agar kerajaan hari ini terus kekal memerintah Putrajaya sehingga Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

“Memang kita harap (Kerajaan Perpaduan kekal sehingga PRU16) kalau model kerjasama pada hari ini dapat kita teruskan dan perkukuhkan sudah tentu ini akan buka suatu masa depan baharu buat Malaysia.

“Perhimpunan pada hari ini bukan sahaja berasaskan kepada bentuk kerjasama politik dari merdeka sehingga sekarang tetapi ini juga merupakan satu permulaan kepada masa depan Malaysia.

“Kalau kerjasama ini dapat kita perkukuhkan, semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini berlapang dada dan memberikan komitmen yang tinggi kepada kerajaan, sudah tentu Kerajaan Perpaduan akan kekal selepas PRU16,” katanya selepas selesai menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Anthony berkata demikian mengulas jaminan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan bayangan bahawa kerajaan sekarang akan kekal memerintah sehingga PRU16 sekiranya terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan yakin ahli akar umbi semua parti dapat menerima kerjasama yang telah memerintah selama enam bulan.

“Saya yakin akar umbi dalam kalangan semua parti memahami keadaan mengapa kerajaan perpaduan ini ditubuhkan selepas PRU15, sudah tentu keakraban kita dan semangat kerjasama kita yang ditunjukkan sejak penubuhan kerajaan ini akan dirasai oleh akar umbi,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran konvensyen hari ini, Anthony berkata, ia merupakan platform permulaan bagi menunjukkan bahawa semua parti dalam kerajaan tekad untuk mempertahankan kerajaan perpaduan.

“Kita kena tunjukkan kita punya kerajaan yang baik,” katanya lagi.

Petang tadi, Ahmad Zahid berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sehingga selepas PRU16. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan Perpaduan akan kekal hingga PRU16 – Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast