Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Walaupun ada suara-suara sumbang cuba mengkritik keputusan MIC yang menyokong Kerajaan Perpaduan namun kritikan seumpama itu tidak perlu diendahkan.

Itu pandangan yang diutarakan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kerana beliau bersama pimpinan parti fokus dalam memastikan kepentingan dan kebajikan kaum India terus terbela.

Vigneswaran mengakui partinya itu pernah berada dalam fasa untuk memilih Perikatan Nasional (PN) namun hakikatnya pilihan yang diambil itu sebenarnya lebih kepada kepentingan rakyat dan bukan sekadar memenuhi agenda politik.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira aspek andainya kita mahu menyatupadukan keseluruhan masyarakat India di negara ini, kita tidak ada apa-apa pilihan selain bekerjasama dengan kerajaan hari ini.

“Secara peribadi, kita semua mungkin ada harapan dan agenda masing-masing. Bak kata timbalan presiden saya, Datuk Seri M Saravanan, sebagai individu jika terima jawatan itu tidak akan memberikan manfaat kepada keseluruhan masyarakat.

“Apa yang penting adalah masyarakat secara keseluruhan. Tidak ada masa untuk fikir habuan mahu pun jawatan masing-masing, MIC hendak fikir untuk rakyat dan rakyat secara keseluruhan. Itu juga antara intipati perbincangan saya dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri secara peribadi.

“Kita telah nyatakan pendirian dan keperluan bukan untuk individu sebaliknya untuk umum. Segala agenda untuk hampir tiga juta masyarakat India di negara ini perlu disantuni dan digerakkan. Oleh yang demikian, kita juga bersedia untuk melupakan luka lama, saling bermaafan serta bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 media yang hadir ‘Sepetang Bersama Presiden MIC’ di Petaling Jaya petang semalam.

Majlis yang sama turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr M Saravanan serta Ahli Dewan Negara, Datuk R Nelson.

Khamis lepas, MalaysiaGazette melaporkan MIC tampil menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar setelah Perdana Menteri memberikan keyakinan serta komitmen perjuangan, kebajikan untuk masyarakat India di negara ini tidak terabai dalam arus perdana.

Dalam pada itu, Vigneswaran memohon kepada semua pengamal media untuk berterusan menyokong semua inisiatif dan agenda positif parti itu daripada lebih mengkritik atau menyiarkan bahan sensasi semata-mata.

“Anda boleh kritik kami untuk kebaikan dan bukannya tanpa asas, fakta sensasi sahaja. Bantu kami dengan menggunakan pen anda, komuniti kita diluar sana memerlukan kerjasama kita secara sepadu untuk kebaikan hari-hari mendatang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MIC ikrar sokong kerajaan perpaduan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast