Kredit: Medical Emergency Rescue Committee (MER-C) Indonesia

JAKARTA – Serangan bom Israel pada hari ke lima semalam, merosakan kemudahan di Hospital Indonesia yang terletak di Bayt Lahiya, Gaza Utara, kata seorang sukarelawan Indonesia di Semenanjung Gaza.

Kabel eletrik dan sistem penghawa dingin serta siling di beberapa bilik hospital itu runtuh.

“Terdapat kemudahan hospital mengalami kerosakan serius setelah tentera Israel membedil kawasan penduduk disekitar hospital,” kata Farid menerusi sistem pesanan ringkas kepada Medical Emergency Rescue Committee (MER-C) di sini.

Sejak serangan hari pertama pada Selasa, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 33 rakyat Palestin termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas terbunuh,dan 150 yang lain cedera.

Sejumlah mangsa turut dibawa dan dirawat di Hospital Indonesia, menurut MER-C, organisasi sosial kemanusiaan Indonesia dalam bidang kecemasan perubatan yang ditubuhkan pada 14 Ogos 1999.

Ketua MER-C Sarbini Abdul Murad berkata serangan ke atas sebuah rumah pada hari sebelumnya turut merosakan hospital berdekatan iaitu Hospital Syuhada Al Aqsa.

“Kami mengutuk pencerobohan Israel terhadap orang awam Gaza dan serangan yang merosakkan kemudahan kesihatan yang dilindungi undang-undang antarabangsa.

“Kami meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan masyarakat antarabangsa segera menghentikan tindakan melampau Israel,” kata Sarbini.

Pihaknya bersedia menghantar pasukan sukarelawan tambahan ke Semenanjung Gaza sekiranya serangan dan jumlah mangsa terus meningkat.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast