KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam mencipta sejarah politik tanah air.
Dikatakan bersejarah kerana selama 77 tahun UMNO bergerak bersendirian, pada 24 November 2022, parti keramat orang Melayu itu mengumumkan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Gabungan itu sekali gus menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengesyoran dan titah nasihat Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
Gabungan ini terbentuk selepas selesai proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awal pagi 20 November 2022.
Dalam pengumuman rasmi itu, tidak ada satu pun parti politik yang bertanding menang secara dominan atau majoriti.
Untuk mengelakkan daripada berlaku penggantungan Parlimen akibat tidak ada parti yang menang dengan majoriti mudah atau dua pertiga, maka Tuanku Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar parti yang pertama dan kedua terbanyak bergabung bagi membentuk kerajaan.
Namun, Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 73 kerusi menolak pengesyoran itu kerana ada dalam kalangan pemimpinnya tidak dapat menerima jawatan Perdana Menteri diberikankan kepada Anwar.
Penolakan itu menyebabkan Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi bersetuju bergabung dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang menang 30 kerusi dan lain-lain parti dari Sabah serta Sarawak sebanyak 37 kerusi.
Gabungan itu menyaksikan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara dengan 148 kerusi iaitu memperoleh dua pertiga kerusi. PN yang mempunyai gabungan Pas dengan Parti Bersatu reda sebagai pembangkang.
Ketika PN menguar-uarkan parti itu sudah mendapat cukup nombor untuk mengambil alih kerajaan sedia ada dengan memaparkan angka 126, Kerajaan Perpaduan menganjurkan Konvensyen Nasional bagi menunjukkan kekuatannya.
Ternyata, pemimpin tertinggi daripada 19 parti melibatkan empat gabungan dalam kerajaan itu telah menyatakan pendirian masing-masing untuk terus kekal memberi sokongan dan dukungan kepada Anwar.
Pendirian itu sekali gus menafikan angka 126 yang dicanangkan oleh beberapa pemimpin Bersatu dan Pas.
Dengan keputusan itu juga, Kerajaan Perpaduan akan meneruskan pentadbirannya sehingga habis penggal PRU15 yang dijangka berakhir Oktober atau November 2027.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam menyaksikan perpaduan yang semakin kuat dan utuh antara parti gabungan, malah melihat kepada keharmonian yang dicapai, terlalu sukar untuk digugat oleh pembangkang.
Ucapan pemimpin-pemimpin kanan, baik dari induk hingga sayap parti juga menunjukkan kesepaduan yang jitu, dengan masing-masing sepakat untuk menokhtahkan permusuhan yang berlaku sekian lama antara mereka.
Baik UMNO/BN, PKR, Amanah, Gabungan GRS dan parti dari Sabah serta Sarawak, masing-masing menyatakan kegembiraan dengan gabungan yang dimeterai enam bulan lalu itu.
Konvensyen semalam, menyaksikan jangka hayat Kerajaan Perpaduan terus kekal mekar sehingga PRU16 dan tidak mustahil bersambung sehingga ke PRU seterusnya.
Walaupun ucapan pemimpin utama parti tidak banyak menyentuh soal kesediaan mereka berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka Jun ini, tetapi peristiwa semalam banyak memberi kesedaran kepada rakyat yang juga pengundi di enam negeri.
Mungkin strategi memikat yang digunakan mereka bukan menerusi ucapan, sebaliknya dengan gambaran kesepaduan yang ditunjukkan semalam pun sudah cukup untuk menyampaikan mesejnya kepada rakyat dan akar umbi.
Laungan “Dulu lawan sekarang… kawan” juga bergema dalam Dewan Merdeka WTC, yang selama ini menjadi tempat berhimpun seluruh pemimpin, ahli dan penyokong UMNO.
Semalam juga, pintu WTC terbuka seluas-luasnya untuk PKR, Amanah, DAP, Parti MUDA dan parti-parti gabungan Sabah serta Sarawak. Ini yang dikatakan sejarah.
Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke mengakui, inilah kali pertama dalam sejarah hidupnya, beliau berdiri di atas pentas WTC di hadapan ribuan ahli yang mewakili 19 parti.
Perasaan yang sama turut dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin sayap parti gabungan iaitu Angkatan Muda Keadilan, Wanita dan Puteri UMNO, Wanita Keadilan, Pemuda dan Wanita Amanah, Gagasan GRS, MIC, MCA dan gabungan dari Sabah dan Sarawak.
Luahan perasaan terharu dan sayu yang diucapkan oleh pemimpin yang suatu ketika dahulu digeruni lawan dan kawan. Ia bergema dalam Dewan Merdeka sebagai tanda penyatuan.
Penyatuan inilah yangn diidam-idamkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Mereka sudah bosan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.
Rakyat impikan sebuah kerajaan yang kuat untuk membawa dan meletakkan negara pada landasan yang betul.
Ini selaras dengan kata-kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang rakyat mahu ialah empat perkara. Pertama, kerja; kedua, pendidikan; ketiga, infrastruktur; dan keempat, ekonomi.
Empat perkara ini perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dan ia boleh dilakukan jika semua pihak memberi tumpuan pada kerja, lupakan berpolitik. – MalaysiaGazette