MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mencari jalan untuk memperkasa minat generasi baharu dalam bidang sains dan teknologi yang masih lemah ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menyuntik semangat dan bimbingan mengenai cabaran dan disiplin baharu dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, langkah itu perlu seiring dengan pelaburan negara yang besar dalam bidang automotif serta teknologi hijau yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun tambah beliau, laporan akhir yang diterima sebelum ini mendapati minat anak tempatan dalam bidang sains dan teknologi terlalu rendah terutamanya daripada anak-anak tempatan di kawasan pedalaman dan miskin bandar.
“Saya telah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semua semangat anak-anak supaya bukan sahaja dididik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baru dalam bidang teknologi baharu.
“Ini kerana dari kajian awal minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar itu minatnya dalam bidang sains dan teknologi juga merosot,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 Ke-52 bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. – MalaysiaGazette.