hakim Zaid Ibrahim Najib Razak SRC International
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mengulangi cadangannya agar Pas menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, walaupun tidak semua bersedia ke arah itu, sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka pun sudah lebih daripada mencukupi.

Malah, katanya, beliau juga mencadangkan Anwar berjumpa dengan pemimpin Pas untuk memujuk mereka menyertai gabungan kerajaan perpaduan.

“Semalam saya cadangkan Pas beri sokongan kepada Anwar, malah saya cadangkan Anwar jumpalah pemimpin Pas.

“Kalau tak semua mereka bersedia, ada juga di kalangan mereka yang memikirkan kestabilan politik dan perlunya negara ini dipimpin oleh Anwar untuk tempoh lima atau 10 tahun lagi.

“Anwar memang tak boleh berpuas hati dengan sokongan UMNO dan Parti Amanah sahaja. Ajak Pas bergabung juga akan menguatkan lagi kepimpinan perpaduan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Zaid, Perdana Menteri perlu mengambil kira faktor kepimpinan orang Melayu Islam adalah elemen paling penting kalau beliau mahu memerintah untuk tempoh lebih lama.

Katanya, di Malaysia ini banyak unsur agama dimain dan dijadikan fitnah sehingga isu ekstrem turut ditimbulkan kononnya Islam menuntut perkara itu.

Jelas beliau, Anwar dan Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai masa untuk melaksanakan perubahan, kalau selalu berdepan dengan fitnah dan isu remeh yang diperbesarkan.

“Untuk berubah, Anwar perlu pastikan dia mendapat sokongan daripada Pas. Kerana untuk buat perubahan ia mencakupi pendidikan, budaya dan sebagai. Jadi, mana Perdana Menteri ada masa.

“Dalam keadaan beginilah, saya kata lebih baik beliau membawa masuk pemimpin Pas supaya mereka faham isu tertentu dan bila mereka ada dalam kerajaan mereka tidak akan ekstrem, tidak akan menggunakan fitnah dan sebagainya.

“Malah, jika Pas dan Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRN ini, ia akan menimbulkan ketegangan politik, manakala fitnah akan bertambah dan menyaksikan pelbagai tuntutan yang tidak munasabah,” ujar beliau.

Kara Zaid, jika Pas berada dalam kerajaan, perkara itu akan berkurangan dan tidak lagi bertindak ekstrem. – MalaysiaGazette