KUALA LUMPUR – Pasukan badminton negara terus memberi berita gembira kepada peminat di tanah air, selepas menundukkan Denmark 3-1 untuk melangkah ke saingan separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China malam ini.

Apa yang membanggakan ialah kegigihan yang dipamerkan pemain Malaysia yang berhempas pulas, selain mendapat tuah selepas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Viktor Axelsen, terpaksa tarik diri kerana kecederaan sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan negara.

Perlawanan Malaysia yang pertama kali bertemu Denmark dalam piala berprestij itu bermula baik, apabila juara Orleans Masters Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan gandingan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-14, 21-7.

Aksi kedua yang menemukan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dengan Axelsen memberi peluang keemasan kepada Malaysia memperoleh mata kedua, selepas pemain nombor satu dunia itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada awal perlawanan, meskipun telah berusaha untuk bangkit.

Tuah yang diperoleh pasukan negara itu, bagaimanapun tidak memberi tonik kepada perseorangan wanita Goh Jin Wei untuk menumpaskan Mia Blichfeldt apabila tewas 14-21, 21-15, 19-21, dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam sembilan minit.

Kekalahan terbabit, bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad negara untuk mengutip mata kemenangan menerusi juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.

Malaysia dijangka berhadapan dengan cabaran sengit dalam saingan berikutnya, apabila dijadualkan bertemu Korea Selatan di peringkat separuh akhir pada pukul 10 pagi waktu tempatan esok.

Korea Selatan mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 3-1 hari ini.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menjuarai Kumpulan C selepas menang tiga perlawanan mengalahkan  Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland. – Bernama