Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud bercakap kepada media selepas Program Suara Nadi Kehidupan sempena Hari Suara Sedunia 2023 di NIOSH, Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak boleh memberikan apa-apa komen berkaitan penahanan seorang pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Hire 2.0 semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud enggan mengulas apa-apa mengenainya kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya fikir isu itu masih disiasat. Kami diminta untuk tidak beri apa-apa komen tentang perkara ini. Saya tahu isu itu sebelum ini namun siasatan sedang berjalan. Kami tidak boleh beri komen.

“Apa yang dilaporkan dalam media, itu sahaja maklumat yang ada ketika ini,” katanya selepas perasmian program ‘Suara Nadi Kehidupan’ sempena Hari Suara Sedunia 2023 hari ini.

Semalam PERKESO mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung insentif pengambilan pekerja bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Menurut PERKESO, pegawai berkenaan disyaki terbabit menerima suapan bagi meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) di bawah Penjana.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada berlaku ‘pembersihan’ memandangkan beberapa isu dan skandal di beberapa agensi di kementerian itu, Mustapha hanya tersenyum dan enggan memberikan ulasan.

“Cukuplah setakat ini, saya tidak boleh komen,” katanya.

Untuk makluman, SPRM menahan seorang pegawai perkhidmatan sebuah agensi selepas disyaki terbabit menerima wang habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat sebagai upah meluluskan permohonan tuntutan PenjanaKerjaya bernilai kira-kira RM1.3 juta Selasa lepas.

Lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit dikatakan menerima habuan itu pada 2021 hingga 2022, menerusi seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat berkenaan.

Selasa lalu, 47 pengarah syarikat ditahan reman di beberapa negeri susulan kes tuntutan palsu dana PenjanaKerjaya selepas ditahan melalui Ops Hire 2.0 digerakkan SPRM dengan kerjasama PERKESO.

Kelmarin 13 lagi ditahan melalui operasi sama dengan beberapa lagi menyusul.

SPRM turut mengesahkan, ratusan lagi syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes tuntutan palsu berkaitan dana PenjanaKerjaya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ops Hire: PERKESO sahkan SPRM tahan pegawainya