Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang penganggur menerima 11 jahitan selepas cedera diserang dengan pisau pemotong buah oleh dua kenalannya.

Kejadian itu berlaku terhadap mangsa di Apartment Danau Pandan 1, Jalan Perdana, di sini pada 19 Mei lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca dendam lama antara mangsa dan suspek.

Pada Jumaat lalu jam lebih kurang 8 pagi, mangsa yang juga seorang warg tempatan berusia 29 tahun telah didatangi oleh dua suspek lelaki yang dikenalinya menaiki motosikal jenis Yamaha berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

“Tiba-tiba suspek yang membonceng motosikal itu turun lalu mengelar tangan mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong buah manakala seorang lagi suspek mengambil dompet dan telefon bimbit pengadu jenis Vivo.

“Selepas itu, kedua-dua suspek lelaki itu terus melarikan diri,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian tangan kiri dan menerima rawatan 11 jahitan di Hospital Ampang akibat ditetak salah seorang suspek.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa pihak polis menyerbu sebuah flat di Jalan San Peng di sini pada jam 4 pagi tadi dan menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dalam serangan itu.

Polis juga merampas sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa dan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

“Difahamkan wanita yang ditahan bersama tiga suspek lelaki merupakan kekasih mangsa dan motif serangan dipercayai akibat dendam kerana mangsa dikatakan sering memukul wanita tersebut.

Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek positif dadah jenis amphetamine manakala kedua-dua lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Kesemua direman enam hari ini sehingga 27 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (samun).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.-MalaysiaGazette