Khairy Jamaluddin Abu Bakar.- Foto MUHD NA’IM, 12 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang masih tidak mempunyai parti selepas dipecat UMNO pada Januari lalu memohon sedikit masa lagi berhubung keputusannya menyertai Bersatu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ini kerana beliau mahu memilih parti keduanya yang bertepatan dengan nilai dan pendirian yang dimilikinya sebagai ahli politik.

Namun bekas Menteri Kesihatan itu menghargai tawaran yang dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak semua ahli politik mendapat peluang kedua menyertai parti lain tanpa perlu melompat memandangkan dirinya berstatus ahli UMNO yang dipecat.

“Saya pilih dengan rela hati kerana parti itu mewakili nilai saya dan pendirian politik saya. Saya perlukan masa dan bukan saya kata ‘no’ pada tawaran Tan Sri Muhyiddin kali ini.

“Saya pun tidak mahu buat keputusan berdasarkan emosi dan mungkin hendak masuk semula (politik) dengan cepat, saya tidak hendak keputusan itu diundang sebab emosi atau balas dendam atau mengajar mana-mana pihak serta takut mengecewakan rakan-rakan.

“Saya harap mereka yang telah memberi tawaran kepada saya dapat memberi masa kepada saya lagi untuk memikirkan perkara ini saya tidak ambil mudah perkara ini, terima kasih Tan Sri Muhyiddin terutamanya secara umum menzahirkan perkara ini.

“Ada juga yang tawaran lain yang tidak buat secara umum dan tidak perlu saya sebut sebab saya rasa tidak betul.

“Perkara ini harus dibuat oleh mereka yang menawarkan, saya rasa yang lain itu biarlah perbincangan yang sulit. Tetapi terima kasih Tan Sri Muhyiddin, memang saya ada ramai kawan-kawan dalam Bersatu. Namun demikian tidak ramai orang memiliki peluang kedua dalam politik,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan  podcast ‘KeluarSekejap’ di media sosial di sini hari ini.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy jika beliau mahu menyertai parti itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga Presiden Bersatu itu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, beliau akan memberi secara jawapan berdepan Muhyiddin kerana ia merupakan adab yang paling tertib dalam berpolitik.

“Kita sebagai orang politik perlu tertib dan jumpa orang beri tawaran kepada kita dan beri jawapan secara berdepan dan berbudi bahasa.

“Saya belum lagi dalam keadaan membuat keputusan, ramai yang bercakap bagi pihak saya. Penganalisa politik cakap begini, orang lain cakap begini, Lokman Nor Adam pun cakap, terima kasihlah kerana memberi nasihat kepada saya, saya akan memikir nasihat tersebut sambil minum jus lobak.

“Tetapi yang penting adalah, tidak ramai ahli politik memiliki peluang memilih parti politik buat kali kedua, secara tanpa melompat. Ramai yang melompat, tetapi saya tidak melompat tapi saya dipecat.

“Bila kita ada peluang kedua untuk mem parti politik, saya tidak ambil ringan. Saya tidak mahu buat keputusan kerana PRN (Pilihan Raya Negeri) tidak lama lagi. Tak pilih semata-mata ada PRN dua bulan lagi dan hendak sertai pilihan raya serta jadi calon. Saya hendak jelaskan ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat dan buat semata-mata ada PRN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast